12 JULAI: Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam sudah memberi keterangan kepada polis, semalam, berhubung rakaman video berbaur fitnah terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata Lokman hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada jam 4 petang bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Lokman dipanggil ke IPD Dang Wangi bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya dalam satu kenyataan ringkas kepada sebuah akhbar hari ini.
Pada 5 Julai lalu, Setiausaha Politik Ismail Sabri iaitu Datuk Syed Mohd Fazmi Sayid Mohammad membuat laporan polis terhadap Lokman susulan penyebaran rakaman video memfitnah Timbalan Perdana Menteri.
Syed Mohd Fazmi dipetik berkata, rakaman video dimuat naik menerusi laman Facebook Lokman itu mendakwa Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO, cuba meyakinkan Ahli Parlimen UMNO untuk menjadi calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) jika tidak dipilih menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).