12 JULAI: Zon Pengurusan Bencana (DMZ) di Hospital Tuanku Mizan (HTM) sedia terima tambahan kira-kira 150 pesakit COVID-19 tahap 3,4 dan 5 dari sekitar Lembah Klang, mulai esok.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata DMZ ditempatkan di parkir bawah tanah HTM adalah fasiliti sedia ada yang direka khas oleh ATM sejak pembinaan hospital berkenaan, sejak 20 tahun lepas.
Beliau berkata DMZ berkenaan dilengkapi bekalan oksigen berpusat, vacuum ports serta sistem pendawaian elektrik khas bagi tujuan kesiapsiagaan bencana biologi dan kimia.
“DMZ ini mampu menampung sebanyak 100 pesakit Kategori 3, dan 50 pesakit Kategori 4 dan jika perlukan bantuan alat pernafasan untuk Kategori boleh dipindahkan ke wad ICU di HTM.
“Persiapan kini sedang giat dijalankan oleh HAT Tuanku Mizan dan dijangkakan untuk menerima pesakit kategori 3 mulai esok,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebook selepas meninjau kemudahan di DMZ hari ini.
Tinjauan berkenaan bertujuan untuk merencanakan dan memurnikan perancangan strategik pengurusan pesakit-pesakit COVID-19 di Lembah Klang susulan daripada peningkatan kes-kes COVID-19 terutamanya di kategori 3, 4 dan 5 di Lembah Klang yang menyebabkan kesesakan di fasiliti-fasiliti kesihatan di sini.
Sebagai makluman, pesakit di kategori 3 adalah pesakit COVID-19 bergejala dengan radang paru-paru manakala pesakit kategori 4 pula adalah pesakit yang bergejala, mempunyai radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen.
Dr Noor Hisham berkata, bagi pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, beliau mengucapkan ribuan penghargaan dan terima kasih kepada Panglima Angkatan Tentera dan seluruh anggota HTM di atas kerjasama strategik dalam memerangi pandemik COVID-19 di negara ini.