12 JULAI: Angka kematian akibat kes penularan COVID-19 kini kembali meningkat dengan 102 lagi mangsa dilaporkan maut akibat wabak berkenaan hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dengan peningkat itu jumlah mangsa yang mati akibat penularan wabak COVID-19 di Malaysia selepas kes pertama dikesan pada 24 Februari 2020 kini mencecah angka 6,260 orang atau 0.74 peratus daripada kumulatif 844,870 kes.
Dr Noor Hisham berkata daripada 102 kes kematian dilaporkan hari ini 97 membabitkan rakyat tempatan, manakala lima lagi ialah warga asing.
“Selangor kekal menjadi negeri mencatatkan korban tertinggi harian dengan 46 lagi kes kematian dilaporkan hari ini, diikuti Kuala Lumpur (16) dan Negeri Sembilan (14).
“Negeri Pahang pula mencatatkan tujuh kes kematian, diikuti Johor (6), Kedah dan Melaka masing-masing tiga kes kematian; Sabah dan Pulau Pinang masing-masing dua kes serta Kelantan, Perak, dan Sarawak masing-masing satu kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham mengesahkan bahawa terdapat 91,272 kes aktif COVID-19 di seluruh negara ketika ini termasuk 964 pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 452 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham mengesahkan KKM mengesan 16 lagi kluster baharu COVID-19 di seluruh negara hari ini termasuk lima kluster tempat kerja, lapan komuniti dan tiga kluster komuniti di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Sarawak, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Johor dan Putrajaya.
Beliau berkata dengan pertambahan itu jumlah kumulatif kluster COVID-19 dikesan di seluruh negara setakat ini adalah
3,093 kluster termasuk 2,228 kluster sudah tamat dan 865 masih aktif.
“Berdasarkan data terkini pada 11 Julai 2021, nilai RT Malaysia adalah sebanyak 1.15. Negeri yang mencatatkan nilai RT yang tertinggi adalah Putrajaya (nilai RT 1.31).
“Manakala negeri-negeri lain yang mencatatkan RT melebihi 1.0 adalah Selangor (nilai RT 1.18), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (nilai RT 1.17), Kedah (nilai RT 1.17), Pahang (nilai RT 1.14), Sabah (nilai RT 1.08), Melaka (nilai RT 1.08), Terengganu (nilai RT 1.08), Perak (nilai RT 1.07), Pulau Pinang (1.05), Negeri Sembilan (nilai RT 1.02), dan Johor (nilai RT 1.02),” katanya.