12 JULAI: Wanita UMNO Malaysia memuji tindakan tegas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berhubung pekebun durian haram di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam di Raub, Pahang.
Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri Pahang amatlah baik dan membuktikan Menteri Besar amat bertegas mengenai isu ini.
“Wanita UMNO Malaysia menyokong penuh tindakan tegas Wan Rosdi khasnya dan kerajaan negeri Pahang amnya.
“Penguatkuasaan undang-undang tidak terpilih kepada sesiapa pun juga tidak terpengaruh dengan sebarang provokasi oleh pihak-pihak berkepentingan yang mahu meraih sokongan politik.
“Wanita UMNO Malaysia menghargai tindakan yang baik dan tidak membelakangkan undang-undang,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, Wan Rosdy memaklumkan keputusan kerajaan negeri Pahang menebang pokok durian Musang King yang ditanam secara haram dalam kawasan HSK Batu Talam, Raub kerana mengambil kira status kawasan itu sebagai HSK.
Beliau memaklumkan sudah menjadi dasar mana-mana HSK tidak boleh ditanam dengan tanaman durian dan sekiranya ada pokok durian di kawasan HSK itu, ia akan menjadi faktor penarik untuk orang masuk sesuka hati ke dalam kawasan berkenaan.
Tambah beliau, kawasan kebun haram Musang King yang ditebang dalam operasi penguatkuasaan di HSK Batu Talam telah didefinisikan keluasannya oleh pihak mahkamah.
Hari ini, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mengesahkan kesemua kira-kira 15,000 batang pokok Musang King yang ditanam secara haram di HSK Batu Talam berjaya dimusnahkan.
Pengarah JPNP, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd. Yassin berkata, operasi penebangan menerusi Op Pamah itu telah selesai semalam lebih awal berbanding jangkaan selama sebulan sehingga 3 Ogos ini.