12 JULAI: Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini mengumumkan pelantikan Tan Sri Ahmad Nizam Salleh sebagai Pengerusi Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), manakala jawatannya selaku Pengerusi Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) diambil alih oleh Tan Sri Mohd Bakke Salleh berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2021.
Menurut kenyataan PMO perubahan itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan mentransformasi syarikat berkaitan kerajaan supaya terus kukuh dan bersedia menghadapi fasa pemulihan pasca COVID-19 dalam norma baharu dan perubahan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa.
Berikutan itu, Perdana Menteri mengucapkan ribuan terima kasih atas kepimpinan dan sumbangan Ahmad Nizam selama tiga tahun sebagai Pengerusi PETRONAS.
“Berdasarkan pengalaman beliau selama 37 tahun berkhidmat di PETRONAS dalam pelbagai jawatan, beliau telah
berjaya mengemudi syarikat berkenaan mengharungi cabaran terbesar yang dihadapi negara dan dunia, termasuklah ketidaktentuan harga minyak dunia dan krisis pandemik COVID-19.
“PETRONAS masih kekal mempunyai penilaian kredit antarabangsa yang baik dan adalah syarikat unggul negara yang tersenarai dalam Fortune Global 500,” kata PMO dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Bagaimanapun, PMO berkata Ahmad Nizam akan kekal sebagai Pengerusi kumpulan syarikat KLCC kerana pengalaman beliau di PETRONAS dan dalam pengurusan hartanah utama di KLCC akan membawa nafas baharu kepada hala tuju dan pengurusan PHB dalam meningkatkan pemilikan Bumiputera terhadap hartanah komersial negara.
Mohd Bakke pula adalah ahli korporat yang berpengalaman luas dan telah berkhidmat dalam pelbagai bidang ekonomi dan kewangan.
“Diharapkan kemahiran dan pengalaman yang dimiliki oleh beliau serta sokongan padu daripada Lembaga Pengarah dan pasukan pengurusan sedia ada, akan dapat membawa PETRONAS melalui tempoh mencabar sekarang ke tahap yang lebih cemerlang,” katanya.