12 JULAI: Pemuda UMNO Kota Raja dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Integrasi Nasional mengambil inisiatif menyumbang sebuah kontena sejuk beku yang boleh memuatkan 100 mayat pesakit COVID-19 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
Ketua Pemudanya, Sheikh Weshal Sheikh Ahmad berkata, inisiatif itu diambil selepas pihaknya melihat ruang pusat simpanan mayat pesakit COVID-19 di hospital berkenaan semakin kekurangan.
“Setelah melihat sendiri apa yang sedang terjadi malam tadi, tanpa berfikir panjang, saya terus mendapatkan kontena sejuk beku yang boleh memuatkan hampir 100 mayat dalam satu-satu masa dan menghantarnya ke bahagian kecemasan.
“Saya tidak mahu mayat-mayat yang semakin banyak, berbau busuk. Oleh yang demikian, saya tergerak hati datang membantu walaupun ada sedikit salah faham bersama pihak hospital.
“Apapun, saya berterima kasih kepada pihak Pengarah Hospital Klang dan pegawai kerana sudi menerima sumbangan kami, Pemuda Kota Raja dan Selangor,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, Sheikh Weshal mengharapkan agar kerajaan negeri dan Persekutuan dapat segera menangani kes COVID-19 terutamanya di Selangor ini dengan sebaiknya-baiknya.
Beliau juga turut meminta pengoperasian kilang dihentikan serta-merta buat sementara waktu kerana ketika ini nyawa manusia lebih berharga berbanding masalah lainnya.
“Tolonglah tangani isu ini dengan berkesan. Kami amat bersimpati dengan kepenatan dan tekanan yang dialami para barisan hadapan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH