Semua kerajaan negeri dicadangkan untuk bertegas dan berani termasuk perlu mengadakan pemetaan dan ukur tanah milik kerajaan negeri semula bagi memastikan penerokaan tanah haram dapat dibanteras secara habis-habisan.
Tindakan Kerajaan Negeri Pahang di bawah pimpinan YAB Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang bertegas dalam soal operasi penguatkuasaan di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub adalah satu sikap yang perlu dicontohi.
Sudah tiba masanya penguatkuasaan dan penyelarasan perlu dikemaskini, diperketatkan dan ditambahnilai dalam kerja-kerja pemetaan dan ukur tanah di bawah kerajaan negeri masing-masing.
Dalam hal ini, saya percaya kerajaan negeri mempunyai ketegasan yang kukuh seperti mana yang ditunjukkan oleh Kerajaan Pahang bahawa setiap pencerobohan tanah itu adalah melanggar undang-undang.
Campur tangan mana-mana pemimpin politik yang kononnya dianggap pejuang rakyat sedangkan secara jelas dan terang-terangan bahawa tindakan pihak tertentu itu menceroboh tanah kerajaan boleh dianggap ahli politik itu umpama bagai beruk kena belacan.
Ahli politik sebegini boleh diibarat juga tak tahu menari, dikatakan lantai jongkang-jongket malahan pihak yang menceroboh ini umpama sepuluh kali ukur, sekali kerat.
Sehubungan itu, saya mengucapkan tahniah di atas ketegasan Kerajaan Pahang dalam soal menguatkuasaan undang-undang tanah dan teruskan usaha-usaha memangkinkan serta menyelaraskan sistem pentadbiran tanah yang lebih efisien dan efektif.
Datuk Norliza Abdul Rahim
Ketua Wanita Barisan Nasional Pulau Pinang