13 JULAI: Lebih 110,200 golongan miskin bandar dijangka mendapat manfaat bantuan tanpa tunai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi Program PRIHATIN Kasih bagi meringan beban kos sara hidup golongan memerlukan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, program itu melibatkan peruntukan RM100 juta di bawah pakej Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA).
Rina berkata, program bantuan barangan dapur itu disalurkan secara tanpa tunai atau cashless melalui penggunaan MyKad dan akan memanfaatkan 300,000 isi rumah di bandar-bandar utama di seluruh negara.
“Keluarga yang menerima PRIHATIN Kasih telah dipilih daripada keluarga miskin bandar dengan mengambil kira pangkalan data dari JKM dan e-Kasih yang seterusnya di semak silang dengan pangkalan data Bantuan Prihatin Rakyat(BPR).
“PRIHATIN Kasih melibatkan bantuan bulanan sebanyak RM100 setiap bulan selama tiga bulan yang boleh digunakan untuk pembelian barangan makanan asas seperti makanan dalam tin, susu bayi, beras, minyak masak, telur dan sebagainya berdasarkan pilihan isi rumah,” katanya pada sidang media selepas mengadakan sesi turun padang bersama Yayasan MyKasih di The Store, Pudu Plaza di Kuala Lumpur hari ini.
Mengulas lanjut, Rina berkata Program PRIHATIN Kasih ini melibatkan lebih daripada 300 rantaian pasar raya dan kedai di seluruh negara termasuk Mydin, Giant, Econsave, The Store, Pacific, Milimewa, 99 Speedmart, Lotus Stores(Tesco) serta kedai-kedai runcit.
Katanya, fasa pertama yang telah dilaksanakan bermula pada 1 Julai lalu di Selangor dan Kuala Lumpur telah menunjukkan maklum balas positif dari para penerima.