13 JULAI: Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, mengesahkan seramai 204 petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) IDCC Shah Alam, Selangor, disahkan positif selepas menjalani ujian saringan
Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata perkara berkenaan disahkan selepas ujian saringan dilakukan terhadap semua 453 petugas dibuat berikutan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) menerima laporan bahawa dua petugas di PPV berkenaan didapati positif Covid-19, pada 10 Julai.
“Sebaik sahaja saya dapat maklumat keputusan saringan 11 malam semalam daripada makmal, saya telah arahkan untuk tutup PPV IDCC serta-merta bagi kerja-kerja sanitasi dibuat oleh pihak bomba, dan PPV ini akan dibuka semula esok.
“Keputusan RT-PCR menunjukkan semua yang positif mempunyai nilai ambang kitaran (Ct) lebih daripada 35 di mana mereka mempunyai beban virus yang rendah,” katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.
Berikutan itu Khairy berkata, sebanyak 88 peratus atau 400 petugas sudah divaksinasi sementara 12 peratus atau 53 orang lagi masih menunggu giliran untuk menerima vaksin.
“Berikutan angka kes jangkitan Covid-19 yang tinggi di Lembah Klang, adalah sukar untuk kita pastikan sama ada sesuatu jangkitan itu berlaku di IDCC atau di tempat lain.
“Namun begitu, sebagai langkah berjaga-jaga, CITF menyarankan kepada mereka yang hadir bagi vaksinasi di IDCC pada 9 Julai hingga 12 Julai untuk memantau gejala selama 10 hari,” katanya.
Katanya lagi, gejala COVID-19 berbeza dan individu jangan keliru dengan gejala yang dialami selepas menerima vaksinasi.
“Gejala berbeza selepas divaksinasi. Antara gejala COVID-19 ialah batuk serta hilang deria bau dan rasa. Mereka yang hadir ke pusat berkenaan pada hari berkenaan juga perlu melaksanakan kawalan kendiri selama 10 hari.
“Sekiranya terdapat gejala seperti yang disebutkan itu, kita saran supaya mereka tampil membuat ujian saringan COVID-19,” tegasnya.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, beliau juga mengarahkan semua petugas PPV terbabit diasingkan dan menukar dengan pasukan petugas baharu sebagai langkah berjaga-jaga agar potensi jangkitan dapat dikurangkan.
“Saya juga mengarahkan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) untuk melakukan pemantauan kualiti pengudaraan di PPV berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pihak CITF juga sudah memaklumkan kepada semua penerima vaksin hari ini mengenai penutupan PPV IDCC melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan media sosial.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata sesemua mereka sudah pun mendapat tarikh janji temu baharu.
Bagaimanapun, Khairy berkata pihaknya sudah pun mengarahkan petugas CITF untuk turun ke IDCC hari ini bagi membantu mereka yang tidak menyedari notis penutupan berkenaan.
Selain langkah yang diambil di PPV itu, beliau juga mengarahkan PPV lain untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan tanpa sebarang kompromi dan mempertimbangkan tindakan lebih tegas di semua PPV di seluruh negara.
“Kami sedang mempertimbangkan langkah yang lebih tegas di semua PPV lain dan ini akan diumumkan dari semasa ke semasa,” katanya.