13 JULAI: Lapan maut, manakala sembilan lagi masih hilang dalam insiden sebuah hotel bajet runtuh di Suzhou pada tengah hari semalam, menurut kerajaan tempatan, hari ini.
Kerajaan daerah Wujiang memaklumkan dalam media sosial rasmi, enam lagi mangsa berjaya diselamatkan daripada timbunan sisa runtuhan Hotel Siji Kaiyuan.
Sebelum ini, pihak berkuasa menganggarkan 14 mangsa telah diselamatkan, namun memberi perangkaan terkini itu berikutan ‘analisis dan semakan lanjut terhadap maklumat baharu’.
Punca kejadian masih belum dimaklumkan, setakat ini.
Gambar yang diterbitkan oleh televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan puluhan pekerja penyelamat memakai topi keledar di lokasi bencana, dengan serpihan besi, keluli dan konkrit dalam timbunan runtuhan.
Gambar CCTV juga menunjukkan serpihan kaca pecah bertaburan di kawasan sekitar manakala saluran paip masih berdiri teguh di tengah runtuhan.
Berdasarkan maklumat tertera dalam laman pelancongan Ctrip, hotel itu dibuka pada 2018 dan mempunyai 54 bilik tamu, sebuah dewan makan dan persidangan..
Suzhou memiliki lebih 12 juta penduduk dan merupakan destinasi pelancongan terkenal dengan terusan serta taman berabad-abad usianya.
Kes bangunan runtuh dan kemalangan bukan satu yang luar biasa di China, selalu dilaporkan berlaku disebabkan pembinaan tidak menepati piawaian ditetapkan dan rasuah.