13 JULAI: PAS menyelar dakwaan segelintir pihak yang menuduh kerajaan di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) sebagai sebuah negara yang gagal menangani wabak COVID-19.
Ketua Penerangannya, Kamaruzaman Mohamad berkata, kerajaan PN akan sentiasa berjuang bagi menangani wabak berkenaan dan ia memerlukan peranan semua pihak termasuk pemimpin masyarakat serta rakyat.
Menurut beliau, kerajaan dan juga pasukan barisan hadapan sentiasa gigih berusaha dalam mengambil langkah pencegahan dan meningkatkan jumlah vaksinasi demi menyelamatkan rakyat.
“Sememangnya, perjuangan menangani wabak ini belum berakhir. Tidak ada siapa yang gagal melainkan semua pihak sama ada pemerintah mahupun rakyat sedang berusaha sedaya upaya.
“Kita dapat melihat usaha gigih kerajaan berjaya menggerakkan vaksinasi lebih pantas sehingga mampu mencapai suntikan melebihi 300,000 sehari,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, hari ini.
Dalam pada itu, Kamaruzaman menegaskan, Malaysia merupakan 10 negara tertinggi di dunia dari sudut kadar vaksinasi harian dan jumlah bekalan vaksin sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi menyelamatkan rakyat.
“Ekoran muncul pelbagai varian baharu yang dikatakan berbahaya seperti varian Delta, malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran kepada semua negara agar bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.
“Justeru, petugas barisan hadapan, pemimpin dan seluruh rakyat perlu bersiap-siaga dan bertolong-menolong sehingga kita benar- benar berjaya menangani COVID-19,” katanya.
Terdahulu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan hanya mereka yang masih gila berpolitiking membuat kenyataan bahawa Malaysia sudah gagal menangani wabak COVID-19, seolah-olah mereka berada di planet lain bukan di alam bumi.
Menurutnya, hal ini berlaku disebabkan oleh nafsu politik angkuh mereka terlalu tinggi dan sangat rakus mahu berkuasa.
Katanya lagi, tahap mereka yang terlalu berpolitiking ini sehingga sanggup mendakwa bahawa kenyataan Kementerian Kesihatan yang melaksanakan tugas secara langsung melaporkan angka statistik penularan wabak COVID-19, dianggap sebagai berpolitik.
Justeru, Abdul Hadi memaklumkan dalam keadaan yang mencabar seperti ini, peranan semua pihak adalah wajib bagi menyelamatkan keadaan secara bersama dan menolak segala kepentingan peribadi, puak dan kumpulan.