13 JULAI: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di enam lokaliti di Sabah, Kuala Lumpur (KL), Kelantan serta Kampung Kubang Jela Munir di Kuala Terengganu akan ditamatkan seperti yang telah dijadualkan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi Kuala Lumpur, dua lokaliti yang akan ditamatkan adalah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria dan Taman Bukit Angkasa.
“Manakala Taman Merbau Utama serta Mukim Bukit Jawa Selinsing merupakan PKPD yang akan ditamatkan di Paser Puteh, Kelantan.
“Di Sabah, dua lokaliti juga akan ditamatkan PKPD iaitu di Kampung Balung Cocos di Tawau dan Kampung Jaya Baru di Kunak.
“Justeru, semua lokaliti akan ditamatkan mulai esok iaitu 14 Julai seperti yang telah dijadualkan,” katanya menerusi kenyataan media perkembangan harian Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan PKPD, hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan kerajaan juga bersetuju untuk melaksanakan PKPD di tiga lokaliti di Sabah serta Felda Jengka 8, di Jerantut Pahang bermula Khamis ini.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, lokaliti yang akan dilaksana PKPD di Sabah adalah PPR Lintas Sibuga di Sandakan serta Kampung Telaga dan Kampung Pituru di Pitas.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa PKP semua lokaliti akan dilaksanakan PKPD mulai 15 Julai sehingga 28 Julai depan. PKPD ini dilaksanakan bagi memudahkan Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan pengesanan awal kes.
“Ini juga bagi memastikan penduduk yang berisiko dijangkiti kekal berada di kawasan PKPD bagi mengelakkan penularan jangkitan keluar daripada lokaliti tersebut,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH