13 JULAI: Persatuan Automotif Malaysia merayu kepada kerajaan untuk memberi kebenaran sektor automotif untuk bengkel dan pusat pengedaran kenderaan serta alat ganti kenderaan penumpang dan komersial beroperasi pada kadar segera.
Presidennya, Datuk Aishah Ahmad, berkata keseluruhan rantaian bekalan dalam sektor automotif terjejas teruk susulan penutupan penuh operasi disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di beberapa daerah di Selangor dan Kuala Lumpur.
“Berdasarkan maklum balas diterima ahli persatuan itu menunjukkan operasi perniagaan di dalam kawasan PKPD terkesan ekoran gangguan rantaian bekalan.
“Ketika PKPD, tidak ada satu aktiviti perniagaan dari sektor automotif yang dibenarkan beroperasi, malah untuk negeri di bawah Fasa 1 dan Fasa 2 Pelan Pemulihan Nasional (PPN), pusat pameran kenderaan dan pusat pengedaran masih tidak dibenarkan beroperasi walaupun kebanyakan sektor ekonomi yang lain kembali dibuka,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Justeru, katanya, MAA berpandangan pendekatan pelaksanaan PKPD, serta Fasa 1dan 2 PPN perlu dikaji dan dipertimbang semula di negeri penyumbang ekonomi utama seperti Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Johor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
“Pengeluaran dan pengedaran produk automotif iaitu kenderaan bermotor, komponen dan alat ganti, serta penjualan kenderaan terhenti sejak 1 Jun lalu.
“Penamatan semua aktiviti ini akan membawa implikasi yang luas kepada seluruh ekosistem automotif di seluruh negara.
“Syarikat automotif kehilangan pendapatan, keuntungan, pasaran eksport dan penutupan perniagaan. Dalam pada itu pekerja juga berdepan masalah lain seperti pemotongan gaji, dan kehilangan pendapatan terutama bagi kakitangan jualan, bahkan mungkin pemberhentian kerja dalam beberapa kes tertentu,” katanya.
Beliau berkata, MAA juga berharap kerajaan membenarkan kilang dan pusat pengedaran kenderaan, alat ganti serta bilik pameran kenderaan baharu beroperasi dalam Fasa 1 dan 2 PPN.
Selain itu, katanya, bagi mengurangkan kesesakan di pelabuhan, MAA mencadangkan kerajaan memberi kebenaran menerima dan menyimpan kargo selama dua hingga tiga hari seminggu seperti mana yang dipraktikkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 1.0) tahun lalu.
“Industri automotif Malaysia sangat bergantung pada pasaran domestik. Pasaran eksport ada tetapi tidak mencukupi untuk mengekalkan daya tahan industri ini.
Aishah berkata, kerajaan juga dijangka kehilangan pendapatan daripada duti eksais, duti import, cukai jualan dan cukai jalan kenderaan bermotor.