13 JULAI : Pengendali Instagram Turkey Local Guides memohon maaf atas kekhilafan fakta berkenaan gambar Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di bangunan ikonik Turki, Hagia Sophia.
Pemandu pelancong itu menyatakan permohonan maaf kepada rakyat Malaysia atas hantaran di Facebooknya yang mengatakan membawa Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengunjungi Hagia Sophia bersama keluarganya.
Menurutnya, lawatan yang diadakan tersebut sebenarnya adalah lawatan rasmi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
“Saya memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia. Saya telah membuat kesilapan maklumat tentang pelanggan kami.
“Ia merupakan lawatan rasmi daripada MITI. Lawatan ini merupakan sebahagian program yang diatur oleh kerajaan Turki.
“Kami bawa ke sana (Hagia Sophia) untuk menunaikan solat Asar,” katanya menerusi kenyataan di Facebook milik pengendali pemandu pelancong itu, hari ini.
Hantaran di Facebook itu sebelum ini menyatakan bahawa Mohamed Azmin bersedia dan sabar untuk mendengar (mengenai) kisah sejarah Hagia Sophia.
Bagaimanapun, semakan PNBBC Portal mendapati hantaran di akaun Instagram tersebut telah dipadamkan.
Azmin kini berada di Eropah untuk lawatan rasmi dan sebelum ini berada di Austria untuk bertemu dengan Menteri Persekutuan bagi Hal Ehwal Digital dan Ekonomi Austria, Dr Margarete Schramböck. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH