13 JULAI: Keadaan pandemik COVID-19 di Indonesia makin meruncing apabila berterusan meningkat dan hampir mencecah 48,000 kes hari ini.
Menurut data yang disiarkan di laman Twitter rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia @BNPB_Indonesia pada Selasa, sebanyak 47,899 kes baharu direkodkan menjadikan jumlah kes keseluruhan kini meningkat kepada 2,615,529 kes.
Sebanyak 865 lagi kematian direkodkan bagi tempoh 12 tengah hari pada Isnin hingga 12 tengah hari Selasa menjadikan jumlah yang meninggal dunia akibat virus itu kini meningkat kepada 68,219.
Angka yang tinggi itu dicatatkan walaupun pemerintah Indonesia menguatkuasakan Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat Darurat (PPKM Darurat) di Pulau Jawa dan Bali sejak 3 Julai lepas, selain mengetatkan lagi protokol kesihatan di pelbagai sektor sosio dan ekonomi.
Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati dalam satu kenyataan berkata, PPKM Darurat dipanjangkan selama enam minggu lagi bermula pada Selasa.
Antara peraturan PPKM Darurat adalah penutupan pusat beli-belah, penerapan 100 peratus bekerja dari rumah bagi sektor bukan penting, penutupan rumah-rumah ibadat, pembelajaran dari rumah sepenuhnya, larangan makan di restoran, kedai makan atau warung dan tempat-tempat atau pusat pelancongan dan rekreasi ditutup.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Indonesia, Budi Sadikin, berkata kadar penggunaan katil untuk pesakit COVID-19 di 12 wilayah melebihi 70 peratus yang mana separuh daripadanya di Jawa dan selebihnya di kepulauan Indonesia yang lain.
Di Jakarta, kadar penggunaan katil menghampiri 90 peratus meskipun beberapa kemudahan sebelum ini ditukar menjadi hospital kerana COVID-19.
Menurut Sadikin, kerajaan bersiap sedia untuk senario di mana kes mungkin meningkat lebih 30 peratus pada tempoh dua minggu akan datang dan jangkitan menular cepat ke wilayah lain.
Antara langkah diambil adalah mengubah lebih banyak hospital biasa kepada kemudahan rawatan COVID-19.
“Seluruh negara masih ada (katil) tetapi kes di beberapa wilayah sudah tinggi kerana wabak tidak menentu berpunca varian Delta.
“(Kes Delta) masih tertumpu di Jawa, tetapi kita dapati ia turut merebak ke luar Jawa seperti di Lampung, Kalimantan Timur, Sumatra Selatan, Papua Barat, Kepulauan Riau dan Bengkulu sekarang di bawah radar kita,” katanya kepada Ahli Parlimen.
Selain isu kekurangan katil, Sadikin berkata Indonesia turut berdepan masalah kekangan petugas kesihatan, oksigen dan ubat COVID-19.