13 JULAI : Wad pengasingan pesakit COVID-19 di sebuah hospital Iraq di kota Nasiriyah, terbakar mengakibatkan 52 orang terkorban manakala 22 lagi dilaporkan cedera.
Menurut pihak berkuasa Iraq, kebakaran tersebut berlaku berpunca daripada letupan tangki oksigen.
Ini merupakan kebakaran maut yang kedua seumpama itu dalam tempoh tiga bulan di Iraq.
Usaha mencari dan menyelamat sedang diteruskan oleh pasukan penyelamat kerana dibimbangi masih ada mangsa yang terperangkap di dalam bangunan tersebut.
Ekoran kebakaran tersebut, puluhan rakyat mengadakan tunjuk perasaan di luar hospital berkenaan selepas insiden terbabit.
Perdana Menteri Iraq, Mustafa al-Kadhemi turut mengadakan mesyuarat kecemasan dengan menteri dan ketua pasukan keselamatan bagi mengenal pasti punca kebakaran itu dan penghantaran bantuan perubatan kecemasan ke lokasi kejadian.
Kebakaran itu turut mencetuskan gesaan dalam media sosial supaya tindakan tegas diambil, malah menuntut pegawai atasan untuk meletakkan jawatan.
Pihak berkuasa tempatan mengisytiharkan darurat di kota Nasiriyah serta mengarahkan doktor sedang bercuti supaya kembali bertugas untuk merawat mangsa yang cedera.