14 JULAI: Dakwaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) AKAN mengambil alih ladang milik peneroka sekiranya bersetuju menandatangani Perjanjian Pelarasan Pinjaman Peneroka Secara Bersyarat adalah tidak benar sama sekali.
Pengarah Besarnya, Datuk Amiruddin Abdul Satar berkata, perjanjian berkenaan sebenarnya bersifat adil kepada kedua-dua pihak, yang menjanjikan 80 peratus hutang lapuk peneroka dihapuskan.
Beliau berkata, banyak salah faham yang timbul adalah disebabkan masih ramai yang masih belum mendapat penerangan lengkap mengenai perkara tersebut.
“Ramai tidak dapat penerangan lagi, menyebabkan banyak salah faham, dan ada yang mengadu di media. Kita bukan ambil alih ladang, kita hanya ambil pengurusan ladang, itulah juga objektif dan hasrat FELDA sejak penubuhannya, untuk mengurus ladang secara berkelompok.
“Dalam tempoh seminggu ini kita banyak turun padang di beberapa negeri dan bertemu dengan peneroka untuk menerangkan mengenai perjanjian ini kerana seeloknya penerangan dilakukan secara fizikal agar mereka mendapat gambaran sebenar,” katanya menerusi taklimat bersama media di aplikasi Zoom, hari ini.
Dalam pada itu, Amirudin bagaimanapun, katanya, buat masa ini terdapat kekangan untuk memberi penjelasan kepada semua 92,000 peneroka di seluruh negara.
“Ini kerana memandangkan banyak negeri sedang berada dalam Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), selain ada kawasan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya.
Mengulas lanjut, Amiruddin memberitahu, tempoh lebih panjang akan diberikan iaitu sebulan, berbanding 14 hari untuk peneroka membuat keputusan sama ada mahu menandatangani perjanjian berkenaan atau sebaliknya.
Beliau menganggarkan sekurang-kurangnya 20 peratus peneroka telah dan akan menandatangani perjanjian itu dalam masa terdekat, dengan masing-masing selepas ini hanya perlu membayar baki pinjaman sebanyak RM200 ke RM300 sebulan berbanding RM800 ke RM1,000 sebulan, selain pendapatan bersih akan meningkat.
“Secara purata hutang setiap peneroka adalah antara RM80,000 ke RM100,000 malah ada yang lebih RM200,000, iaitu hutang terkumpul sejak 20 ke 30 tahun lepas.
“Dengan perjanjian ini, rata-rata peneroka memberi respons positif kerana membabitkan pemansuhan hutang yang banyak, tetapi kita faham tidak semua peneroka jelas mengenai perjanjian itu kerana belum diberi penerangan,” katanya.