14 JULAI: Semua pekebun haram durian musang king tidak akan dibenarkan memasuki Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam di Raub, Pahang untuk mengambil barang milik mereka.
Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dalam kenyataannya memaklumkan, keputusan itu dibuat setelah mendapat nasihat dan pandangan dari Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang dan Timbalan Pendakwa Raya.
Difahamkan ketika ini, JPNP telah memulakan aktiviti menanam pokok hutan yang dianggarkan berjumlah 20,000 pokok bagi menggantikan durian musang king.
“Tindakan ini (pekebun masuk ke HSK Batu Talam) boleh mengganggu siasatan yang kini sedang giat dilengkapkan sepenuhnya untuk tujuan pendakwaan,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Terdahulu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam kenyataannya malam tadi meminta Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon mendapatkan sendiri kebenaran daripada JPNP jika pekebun haram durian musang king di HSK Batu Talam mahu memasuki kawasan operasi penguatkuasaan untuk mendapatkan semula barangan milik mereka di situ.
Wan Rosdy berkata, beliau menerima kunjungan hormat Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Senator Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhamad di pejabatnya di Wisma Sri Pahang di sini petang semalam yang turut disertai Sin Woon.
Dalam kunjungan hormat itu, perkara tentang penguatkuasaan dalam HSK Batu Talam khususnya membabitkan kawasan seluas 101.17 hektar meliputi kebun haram durian musang king, telah dibangkitkan.
Susulan itu, Wan Rosdy menyatakan ketegasan secara konsisten oleh kerajaan negeri dalam kerja-kerja penguatkuasaan yang dilakukan tanpa mengira kaum mahu pun kawasan atau daerah ia berlaku ke atas pencerobohan tanah secara haram di negeri tersebut.
Kira-kira 15,000 pokok durian musang king yang ditanam di kawasan HSK Batu Talam dimusnahkan dalam masa sembilan hari Operasi Pamah sejak 3 Julai lalu.