15 JULAI: Kadar pemberian vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) terus mencatat angka melebihi 400,000 dos sehari untuk tiga hari berturut-turut apabila 434,828 dos diberikan kepada orang awam, semalam.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata dengan pertambahan itu jumlah keseluruhan vaksin yang diberikan kepada orang awam kini meningkat menjadi 12,647,558 dos sejak PICK mula dilancarkan Perdana Menteri, pada 24 Februari lalu hingga semalam.
Katanya, daripada jumlah itu lebih 4 juta individu atau 12.3 peratus daripada keseluruhan lebih 32 juta rakyat Malaysia sudah mendapat dua dos vaksin COVID-19.
“Jumlah pemberian vaksin COVID-19 setakat 14 Julai ialah 12,647,558 dos, dengan 434,828 dos diberikan semalam, iaitu yang tertinggi setakat ini.
“Jumlah individu yang sudah menerima dos pertama ialah 8,644,292 orang yang merangkumi 26.5 peratus daripada populasi negara.
“Selain itu, seramai 4,003,266 individu atau 12.3 peratus daripada keseluruhan populasi negara telah menerima dua dos vaksin COVID-19,” katanya menerusi Twitter, hari ini.
Kadar pemberian vaksin harian Malaysia pertama kali melepasi kadar 400,000 dos sehari pada Isnin lalu dengan 421,479 dos, sebelum meningkat kepada 424,541 dos pada Selasa.
Dr Adham juga turut berkongsi data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) yang menunjukkan penduduk Sarawak mendapat dos pertama tertinggi dengan 1.46 juta individu atau 51.8 peratus populasi negeri itu.
Ini diikuti Labuan (40,233/40.4 peratus), Lembah Klang (3.34 juta/39.6 peratus), Perlis (83,000/32.6 peratus), Negeri Sembilan (359,662/31.9 peratus) dan Pulau Pinang (436,417/24.6 peratus).
Labuan mendahului pemberian dos kedua apabila 35,586 atau 35.7 peratus populasi wilayah itu sudah mendapat suntikan lengkap vaksin COVID-19, selaras usaha kerajaan memberi keutamaan kepada Labuan yang diancam varian Delta.
Sarawak (714,451/25.4 peratus), Perlis (60,077/23.6 peratus), Negeri Sembilan (148,823/13.2 peratus), Lembah Klang (1.03 juta/12.3 peratus) dan Perak (287,788/11.5 peratus).