15 JULAI: Semua Ahli Parlimen dan kakitangan pengiringnya akan divaksinasi terlebih dahulu dalam memastikan persidangan Dewan Rakyat yang dijadual bermula 26 Julai depan berlangsung dalam keadaan selamat.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, perkara tersebut telah pun dimaklumkan kepada Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan proses tersebut di kalangan Ahli Parlimen sedang berjalan.
“Prosedur operasi standard (SOP) kali ini memang amat ketat dan kita nak vaksin semua kakitangan Ahli Parlimen termasuk kakitangan Kementerian dan juga wartawan yang perlu menghadiri persidangan Parlimen juga akan divaksin.
“Saya dah bincang dengan Khairy dan beliau bersetuju dan proses itu sedang berjalan dan kita akan usahakan semua yang terlibat akan mendapat vaksin terlebih dahulu sebelum menghadiri persidangan di Dewan Rakyat,” katanya kepada PNBBC Portal ketika dihubungi, hari ini.
Dalam pada itu, Azhar memaklumkan, semua Ahli Parlimen perlu menjalani ujian COVID-19 awal tiga hari sebelum menghadiri Dewan Rakyat sebagai langkah pencegahan wabak COVID-19.
“Selain itu, SOP di Parlimen seperti biasa tertakluk kepada yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara. Jumlah wartawan juga kita hadkan kepada seorang sahaja dari tiap-tiap agensi berita.
“Setakat ini hanya tiga media rasmi yang telah dibenarkan namun kita benarkan juga media lain,”katanya.
Sementara itu, mengulas dari segi kehadiran di dalam Dewan, Azhar memaklumkan pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Jawatankuasa Dewan Rakyat bagi memastikan ianya mematuhi SOP yang disarankan oleh MKN dan juga Kementerian Kesihatan (KKM).
“Kemungkinan kita akan buat jumlah kehadiran di dalam Dewan saperti Pembentangan Belanjawan 2021 dihadkan kepada 80 atau ke 90 orang sahaja pada setiap masa.
“Ini bagi mengekang penularan COVID-19. Saya akan bincangkan perkara ini dengan Jawantankuasa Dewan,” katanya.
Pada pembentangan Belanjawan 2021 November tahun lalu buat kali pertamanya menyaksikan kehadiran Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat dihadkan kepada 80 orang bagi mengekang penularan COVID-19.
Kehadiran itu membabitkan 41 Ahli Parlimen kerajaan dan 39 pembangkang termasuk Bebas dengan penentuan wakil rakyat yang dibenarkan berada dalam Dewan Rakyat ditetapkan oleh parti masing-masing.
Berdasarkan SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1, Ahli-Ahli Parlimen serta pegawai-pegawainya, pegawai-pegawai Kementerian, pihak media dan individu yang dipanggil untuk urusan rasmi Kerajaan perlu menjalani ujian COVID-19 dengan menggunakan kaedah Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR), tiga hari sebelum hadir di Parlimen dan membawa salinan keputusan ujian tersebut ke Parlimen sebagai bukti.
Bilangan kehadiran pegawai bagi persidangan Parlimen yang dibenarkan adalah Pejabat Menteri dan Ketua Pembangkang (3); Pejabat Timbalan Menteri (2); Pejabat Yang Berhormat (1); Kementerian (3); Penyiar Rasmi (3) dan Media (seorang setiap agensi).
Mengikut ketetapan MKN, bilangan kehadiran pegawai ke mesyuarat Jawatankuasa Pilihan dan Pilihan Khas adalah mengikut keperluan yang ditetapkan oleh sekretariat.
Bagi individu yang bergejala hendaklah menjalani pemeriksaan kesihatan dan mendapat rawatan.
Dewan Rakyat tetap akan bersidang seperti yang dijadualkan bermula 26 Julai ini walaupun terdapat laporan kes positif COVID-19 di kalangan petugas Parlimen. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH