COVID-19: Kes di negara jiran, Eropah turut meningkat
15 JULAI: Trend peningkatan kes positif COVID-19 bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah negara-negara jiran dan Eropah turut terbabit.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini dibuktikan dengan Indonesia turut mencatatkan 56,757 kes positif dan Thailand pula merekodkan sebanyak 9,186 kes positif, hari ini.
“Negara-negara Eropah turut bergelut dengan peningkatan kes seperti United Kingdom yang mencatatkan sebanyak 42,302 kes dan Rusia yang mencatatkan 25,293 kes,” katanya menerusi kenyataan media perkembangan harian Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), hari ini.
Bagaimanapun, Ismail Sabri memaklumkan peningkatan kes COVID-19 mendadak ini adalah disebabkan ujian saringan secara besar-besaran dan bersasar yang dilakukan di kawasan PKPD terutama di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
Beliau berkata, seramai 134,569 individu semalam telah menjalani ujian saringan dan di negeri Selangor sahaja 50,646 individu disaring, yang mana 6,120 kes positif COVID-19 direkodkan.
“Hari ini, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaporkan 13,215 kes positif COVID-19 dan jumlah itu merupakan peningkatan berbanding semalam 11,618 kes dan kelmarin 11,079 kes.
“Sebanyak tiga negeri menjadi penyumbang terbesar kepada peningkatan kes baharu hari ini iaitu Selangor (6,120 kes), Negeri Sembilan (1,603) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1,499),” katanya.