15 JULAI: Malaysia adalah antara beberapa negara yang akan mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini berdasarkan kepantasan kadar vaksinasi semasa, sekali gus akan menyokong pemulihan sebaik ekonomi dibuka semula, kata Standard Chartered.
Ketua Ahli Ekonomi ASEAN dan Asia Selatan Standard Chartered, Edward Lee, berkata pelaksanaan vaksinasi dengan pantas akan mempercepatkan pemulihan sebaik saja Malaysia beralih ke Fasa 3 dan Fasa 4 dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Beliau berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh menjejaskan pemulihan ekonomi negara ini pada suku pertama 2021.
Namun, katanya, pelaksanaan pantas vaksinasi akan membolehkan pembukaan semula ekonomi yang lebih stabil sebaik saja gelombang jangkitan semasa reda.
“Baru-baru ini, kami merendahkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 4.7 peratus berbanding 6.3 peratus sebelum ini dengan mengambil kira impak sekatan pergerakan terkini. Pelaksanaan pantas vaksinasi akan menyokong lonjakan sebaik ekonomi dibuka semula.
“Pemulihan mungkin kekal tidak menentu dengan permintaan luaran menjadi sumber utama yang menyokong. Perbelanjaan pengguna mungkin akan disokong oleh pelbagai langkah fiskal dan peningkatan simpanan,” katanya dalam nota penyelidikannya mengenai prestasi ekonomi Malaysia.
Negara mencatatkan kadar pemberian vaksin COVID-19 harian tertinggi pada Rabu iaitu sebanyak 434,828 dos suntikan dengan seramai 279,938 individu menerima dos pertama dan 154,890 lagi, lengkap dos kedua.
Perkembangan itu menjadikan jumlah keseluruhan pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksanakan sejak 24 Februari lalu adalah sebanyak 12,647,558 dos.
Mengenai inflasi, Lee berkata, pihaknya meningkatkan unjuran inflasi keseluruhan Malaysia bagi 2021 kepada purata 2.8 peratus berbanding 2.5 peratus sebelum ini, berikutan harga minyak yang tinggi.
Beliau berkata, inflasi teras dijangka kekal perlahan pada satu peratus pada 2021 berbanding unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) bagi inflasi teras sekitar 0.5 hingga 1.5 peratus.
“Kami jangka BNM mula dasar normalisasi pada suku ketiga 2022 daripada paras terendah dalam sejarah.
“Kami melihat kenaikan kadar 25 mata asas pada suku ketiga dan satu lagi kenaikan 25 mata asas pada suku keempat, menjadikan kadar dasar kepada 2.5 peratus,” katanya.
Mengenai dasar fiskal, Lee berkata, ruang adalah terhad, dengan sokongan fiskal selanjutnya mungkin dihadkan oleh paras had hutang statutori sebanyak 60 peratus daripada KDNK.
Beliau berkata, berdasarkan unjuran kerajaan sebelum ini, hutang statutori dijangka mencapai 58.5 peratus daripada KDNK menjelang akhir tahun, namun ia mungkin lebih tinggi dengan pertumbuhan dijangka lebih rendah daripada dijangkakan.
“Suntikan fiskal langsung baru-baru ini sebanyak RM15 bilion akan menambah satu mata peratusan kepada pertumbuhan hutang (meskipun bagaimana ia dibiayai kekal tiada pengesahan).
“Kerajaan mengatakan ia mungkin mencadangkan meningkatkan had hutang statutori kepada 65 peratus daripada KDNK,” katanya.