15 JULAI: Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) memohon Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyegerakan dan memberikan fokus kepada tiga isu utama dengan menyegerakan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Ketiga-tiga isu tersebut ialah menyiasat isu berbangkit mengenai pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) termasuk siasatan terhadap isu penjualan aset-aset ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, mempercepatkan proses perbicaraan dan inkues kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim serta terakhir menyiasat unsur penyelewengan fakta kandungan buku tulisan Tan Sri Tommy Thomas bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’.
Pengerusi PNBBC Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, kesemua perkara penting itu perlu disegerakan memandangkan ianya berkait rapat dengan kepentingan awam dan keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan, kehakiman dan proses keadilan dalam negara.
“Selain itu, besar harapan kami agar Timbalan Perdana Menteri dapat membantu Perdana Menteri untuk terus memberikan fokus terhadap aspek pentadbiran negara, mempercepatkan proses vaksinasi bagi menjayakan pembentukan imuniti kelompok serta membela keperluan rakyat di setiap parlimen dengan mempertingkatkan lagi penyaluran bantuan bakul makanan.
“Justeru, penambahbaikan apsek pentadbiran dan penyampaian khidmat oleh kerajaan adalah perlu bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat dan membetulkan persepsi mereka bagi memastikan setiap usaha untuk memulihkan negara dari aspek ekonomi dan sosial dapat terus dilaksanakan dengan jayanya menerusi sokongan semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Arau itu berkata, PNBBC juga akan memberikan sokongan penuh terhadap pelantikan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein daripada UMNO serta sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional memandangkan usaha bagi memastikan negara dan rakyat keluar daripada kemelut pandemik ini adalah merupakan perjuangan bersama.
“Pertikaian sokongan pelantikan ini oleh Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional tidak perlu dipertikaikan lagi.
“Dalam masa yang sama, kami menyeru agar semua pihak dalam UMNO terus menyokong Ahli-Ahli Parlimen agar perkhidmatan terbaik kepada rakyat dapat diberikan dengan penekanan terhadap usaha meningkatkan vaksinasi dapat dipergiatkan,” katanya lagi.
Shahidan turut mencadangkan agar Perlis diberi kelonggaran dari segi prosedur operasi standard (SOP) bagi membolehkan pergerakan rakyat kembali bebas, sektor-sektor ekonomi dan perniagaan dibuka semula. Akhir sekali, Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) mahu agar kerajaan bergerak ke hadapan
Ini kerana, katanya, Perlis telah beralih kepada fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan akan memasuki fasa ketiga dalam masa terdekat.