15 JULAI: Kerajaan bercadang membenarkan golongan warga emas berusia 60 tahun ke atas menggunakan kaedah ‘walk in’ untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara, dalam masa terdekat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata sebagai pemulaan inisiatif berkenaan akan dilaksanakan di Lembah Klang iaitu Selangor dan Kuala Lumpur, sebelum diperluaskan ke seluruh negara.
Dr Adham berkata langkah itu perlu berikutan data diperoleh kementerian menunjukkan masih terdapat sebahagian golongan warga emas belum divaksinasi ketika ini.
“Bagi Selangor dan Kuala Lumpur, mereka yang berumur 60 tahun ke atas dan belum menerima vaksin, mereka boleh walk-in dan kita boleh memberi vaksin kepada mereka.
“Kita akan membuat percubaan di Selangor terlebih dahulu, sebelum diperluas ke negeri-negeri lain,” katanya pada sidang media secara maya hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Adham berkata, kerajaan juga akan membenarkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) industri di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan memberikan suntikan 24 jam sehari bagi mempercepatkan proses vaksinasi untuk golongan pekerja.
Dr Adham berkata langkah berkenaan adalah satu inisiatif agar proses vaksinasi di negeri-negeri berkenaan dapat dikembangkan.
Pengarah Bersama Pasukan Pengurusan Projek Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), Datuk Dr Chong Chee Keong berkata, pihak akan membangunkan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) secara maya dalam masa terdekat bagi kes yang bergejala ringan dan tidak bergejala.
Chee Keong berkata langkah berkenaan perlu bagi mengurang kesesakan dan kehadiran orang ramai secara fizikal CAC di seluruh negara.
“Pemantauan kes tersebut akan diadakan secara maya tanpa keperluan hadir secara fizikal ke CAC,” katanya.