16 JULAI: Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, mengesahkan 54 peratus kes positif harian COVID-19 di Kuala Lumpur dan Putrajaya, semalam adalah membabitkan kontak rapat yang kebanyakannya adalah isi rumah.
Annuar berkata, antara faktor penyumbang kepada kes yang tinggi adalah penularan jangkitan dalam kalangan ahli keluarga yang tinggal serumah.
“Majoriti kes positif di PKPD dan kontak rapat isi rumah dikuarantin di rumah menyebabkan penularan kepada ahli keluarga.
“Bagaimanapun, terdapat jangkitan daripada kontak rapat di tempat kerja seperti di pejabat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Annuar yang juga Pengerusi Pusat Penyelarasan Dan Pengurusan COVID-19 Wilayah Persekutuan (CCMC-WP), berkata satu pertiga kes atau 28.5 peratus adalah kes sporadik yang tidak diketahui punca jangkitan tetapi berkemungkinan besar adalah daripada komuniti.
“Penularan kes melalui kontak rapat dan dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkemungkinan didorong oleh transmisi daripada varian membimbangkan (VOC).
“CCMC-WP akan memantau situasi ini serta akan melakukan langkah tertentu, terutama berkaitan peraturan kuarantin di rumah sendiri yang dirasakan tidak sesuai diteruskan,” katanya.
Beliau berkata, kes susulan saringan yang dibuat di kawasan PKPD bersasar adalah 13 peratus daripada jumlah kes keseluruhan manakala jumlah kes juga menurun daripada 294 kes ,kelmarin kepada 205 kes, semalam.
“Kes di tapak binaan hanya tiga, iaitu kurang daripada 0.5 peratus daripada keseluruhan kes.
“Sebahagian besar kes, 88 peratus adalah dalam kalangan warganegara dan tidak disumbangkan oleh industri pembinaan atau perkilangan yang hanya mencatat kurang daripada 0.5 peratus,” katanya.
Ahli Parlimen Ketereh berkata secara keseluruhannya, situasi di wilayah itu adalah terkawal dan dijangkakan kes akan menurun pada minggu hadapan hingga akhir bulan Julai, dengan pencapaian peratusan suntikan vaksin yang tinggi.
“Kementerian akan terus memperhebatkan program vaksinasi secara besar-besaran agar wilayah dapat mencapai imuniti kelompok seawal mungkin.
“Ia juga ke arah melaksanakan strategi baharu pasca 80 peratus vaksinasi dengan lebih banyak sektor sosial dan ekonomi boleh dibuka.
“Perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk wakil rakyat, komuniti perniagaan, perwakilan penduduk dan pemegang taruh yang lain sedang giat dilaksanakan bagi tujuan ini,” katanya.