16 JULAI: Walaupun tiada perbahasan pada Persidangan Khas Dewan Rakyat, namun Ahli-Ahli Parlimen dibenarkan mengemukakan sebarang pertanyaan ketika persidangan tersebut.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, Ahli Parlimen penyokong kerajaan mahupun pembangkang tidak akan dihalang jika mahu mengemukakan sebarang pertanyaan yang berbangkit pada persidangan itu selama lima hari bermula 26 Julai ini.
“Ruang akan diberikan dan semua akan diberikan laluan jika mereka menekan butang pada pembesar suara di meja masing-masing.
“Pada persidangan ini tiada sebarang usul jadi tiada sebarang perbahasan, namun saya kira jika ada cadangan atau pertanyaan boleh kemuka pada sesi soal jawab, itu juga dikira perbahasan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Abdul Rashid menjelaskan Ahli Parlimen ada diberikan aturan mesyuarat dan mereka boleh merujuk perkara itu daripada jadual disertakan.
“Semua Ahli Parlimen boleh kemukakan usul dan ia terpulang kepada Speaker (Datuk Azhar Azizan Harun) menerima atau tidak,” katanya.
Terdahulu, beberapa Ahli Parlimen mengkritik jadual perjalanan sidang Dewan Rakyat bermula 26 Julai ini, setelah mendapati sidang lima hari itu hanya untuk sesi “penerangan daripada menteri-menteri.
Antaranya adalah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyifatkannya kononnya sesi tersebut di persidangan khas Dewan Rakyat sebagai memalukan.
Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Tun Dr Mahathir Mohamad turut mengkritik kononnya sidang khas itu bukan persidangan Parlimen sebenar, namun hanya majlis taklimat jika tiada sesi pembentangan usul dan perbahasan dibenarkan.
Beliau juga dilihat bersikap tidak ‘matang’ apabila bekas Perdana Menteri itu dan tiga Ahli Parlimen dari Pejuang mungkin hanya akan hadir sekiranya sesi perbahasan dan pembentangan usul dibenarkan.