16 JULAI: Jumlah kemasukan kenderaan di negeri Kelantan menunjukkan peningkatan berbanding hari biasa walaupun kerajaan masih mengenakan tindakan larangan rentas negeri.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Piah berkata, hasil maklumat yang diperoleh, pihaknya mengesan peningkatan kira-kira lima peratus jumlah kenderaan dari negeri-negeri utara tanah air yang memasuki Kelantan menerusi sekatan jalan raya (SJR) di Jeli, hari ini.
Menurut beliau, peningkatan peratusan kemasukan kenderaan di SJR itu dikesan berlaku bermula pagi tadi sehingga pukul 12 tengah hari.
“Namun, dua SJR di Pasir Puteh yang menjadi pintu masuk dari Terengganu dan Gua Musang untuk perantau dari ibu negara dilihat tiada berlaku peningkatan kemasukan kenderaan setakat ini.
“Berdasarkan pemerhatian, jumlah kenderaan di sekitar kawasan Kota Bharu juga meningkat sebanyak 15 peratus pada hari ini berbanding sebelumnya.
“Peningkatan kenderaan di Kota Bharu juga berkemungkinan orang ramai keluar untuk membeli barangan keperluan untuk persiapan menyambut Hari Raya Aidiladha,” katanya kepada media, hari ini.
Dalam pada itu, Abdullah memaklumkan hasil pemerhatian pihaknya turut mendapati, peningkatan kenderaan yang berada di atas jalan raya di daerah Tumpat dan Machang juga meningkat lima peratus pada hari ini.
Sehubungan itu, Abdullah turut menasihatkan perantau yang pulang ke Kelantan agar menyediakan dokumen yang lengkap dengan alasan kukuh supaya tidak menimbulkan masalah ketika mereka tiba di SJR untuk ke negeri ini.
“Bagaimanapun, kita tidak menggalakkan perantau mengambil peluang merentas negeri untuk pulang ketika ini.
“Seeloknya, semua perantau tidak pulang ke kampung halaman bagi mengelakkan berlakunya penularan jangkitan COVID-19,” katanya.
Semalam, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bertitah agar rakyat negeri itu tidak merentas negeri balik kampung sempena Aidiladha, sebaliknya terus kekal mematuhi arahan kawalan pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) .
Setiausaha Sulit Kanan kepada Sultan Muhammad V, Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan berkata, baginda bertitah, anak-anak yang tidak berjumpa dengan ibu bapa dalam keadaan pandemik ini, bukan bermakna tidak menyayangi mereka.