16 JULAI: Kit ujian kendiri pantas antigen COVID-19 buatan Malaysia yang pertama, Kit Ujian Pantas Antigen Salixium COVID-19 akan mula dijual kepada orang awam pada Isnin ini.
Pengurus Projek MeDKAD Sdn Bhd (MeDKAD), Syahriah Razak berkata, kit Salixium tersebut dapat mengesan kehadiran antigen SARS-CoV-2 dalam air liur manusia dan persampelan melalui hidung.
Menurut beliau, kit ujian pantas mengambil masa antara 10 hingga 15 minit untuk dilakukan dan hasilnya dinilai oleh jalur yang dapat dilihat dengan jelas, ia akan mengesahkan kewujudan antigen.
“Kewujudan atau ketiadaan antigen SARS-CoV-2 dalam persampelan akan ditunjukkan menerusi jalur berwarna merah jambu/ungu di kit tersebut.
“Sekiranya sampel berkenaan tidak mengandungi antigen SARS-CoV-2, tiada jalur warna akan muncul, menunjukkan hasil ujian adalah negatif.
“Sebagai pengawalan prosedur, jalur warna kit yang kelihatan itu mengesahkan persampelan yang betul tanpa mengira sama ada wujud atau tiada antigen SARS-CoV-2 dalam sampel tersebut,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Tambah beliau, sebanyak 242 sampel air liur atau calitan hidung diuji dengan Salixium dan keputusan menunjukkan bahawa sensitiviti Salixium adalah 91.23 peratus manakala ketepatannya ialah 100 peratus.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama MeDKAD, Ezuan Yaacob berkata, MeDKAD mempunyai saintis dan pakar perubatannya sendiri.
“Pakar kami mempunyai kemampuan bukan sahaja bagi membangunkan kit ujian mereka sendiri tetapi untuk bekerjasama dengan institusi penyelidikan tempatan dan luar negara untuk memastikan keberkesanan produk tersebut.
“Selain Malaysia, MeDKAD merancang untuk menembusi pasaran di negara-negara lain di Asia, Eropah dan Asia Barat kerana Salixium juga telah digunakan secara meluas di Perancis, Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu terutama di Dubai,” katanya.
Ditubuhkan pada tahun 2016 dan beribu pejabat di Shah Alam, Selangor, MeDKAD adalah syarikat teknologi kesihatan yang memberi perkhidmatan kepada syarikat untuk menguruskan manfaat perubatan mereka dengan lebih baik.