16 JULAI: Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tidak akan menjejaskan terhadap agihan keuntungan kepada pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH)
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata kadar pengagihan keuntungan kepada pendeposit TH akan dimuktamadkan secepat mungkin.
Zulkifli berkata penubuhan RCI berkenaan adalah untuk menjawab segala persoalan dan permasalahan yang sering ditimbulkan dan dibangkitkan mengenai TH seperti aspek pengauditan dan dasar.
“Penubuhan RCI dipersetujui hasil daripada kehendak sebahagian besar Ahli Parlimen, baik daripada pihak kerajaan ataupun pembangkang, yang mahu isu TH dilihat secara terperinci serta adil.
“Kita sejujurnya akan memastikan RCI bersifat bebas, telus dan akan pilih mereka yang berwibawa dan berintegriti untuk menganggotainya,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan serahan sumbangan 41 tablet dari TH Travel and Services Sdn Bhd kepada Sekolah Agama Menengah (SAM) Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, di sini hari ini.
Rabu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan kerajaan menubuhkan RCI Tabung Haji mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai Tabung Haji, hasil pengauditan perunding-perunding seperti PricewaterhouseCoopers, Ernst & Young dan Roland Berger dari 2014 hingga 2020.
Ismail Sabri berkata, antara terma RCI yang sudah dipersetujui oleh Jemaah Menteri adalah skop RCI yang akan tertumpu kepada hasil penemuan perunding-perunding ke atas isu-isu berbangkit TH dari 2014 hingga 2020, tetapi tidak termasuk Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Tabung Haji yang sedang dilaksanakan pada masa ini.
Mengenai sumbangan tablet kepada pelajar SAM Bandar Baru Salak Tinggi itu, Zulkifli berkata, sumbangan TH Travel and Services itu dapat meringankan beban pelajar asnaf yang tiada alat itu untuk meneruskan pembelajaran dalam norma baru.