Tengku Adnan dilepas, dibebaskan daripada tuduhan rasuah
16 JULAI: Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini dilepaskan dan dibebaskan daripada tuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan oleh Mahkamah Rayuan.
Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Suraya Othman, dalam keputusan majoriti 2-1 membenarkan rayuan Tengku Adnan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati beliau bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta.
Dalam prosiding hari ini, Hakim Datuk Ahmad Nasfy sependapat dengan Suraya manakala Hakim Datuk Abu Bakar Jais membuat keputusan sebaliknya.
Berikutan itu, Mahkamah Rayuan mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta yang dijatuhkan terhadap Tengku Adnan oleh Mahkamah Tinggi.
Sebelum ini, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendapati Tengku Adnan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan terhadap kes pendakwaan, pada 21 Disember tahun lalu.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Ahli Parlimen Putrajaya itu untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan.
Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan, 70, didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan, menerima RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB), Tan Sri Chai Kin Kong.
Bayaran berkenaan dibuat melalui cek didepositkan ke dalam akaun bank milik syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang beliau mempunyai kepentingan dan diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan tugas rasminya.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.