16 JULAI: Kerajaan tidak akan sama sekali berkompromi jika terdapat mana-mana pihak yang melakukan perlanggaran arahan serta prosedur operasi standard (SOP) dalam apa juga situasi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, ini kerana apa yang menjadi keutamaan kerajaan kini adalah keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
Justeru, beliau menegaskan jika ada mana-mana premis masih berdegil dan melanggar arahan pihak berkuasa, tindakan keras termasuk arahan tutup serta-merta akan dikenakan.
“Pelan Pemulihan Negara (PPN) merupakan komitmen Kerajaan dalam menyediakan strategi yang jelas bagi menangani pandemik COVID-19.
“Kerajaan juga sentiasa melaksanakan langkah-langkah penguatkuasaan SOP yang tegas termasuk operasi pematuhan, tindakan pengawalan dan pemeriksaan (snap check) premis-premis perniagaan serta kilang-kilang.
“Semalam sahaja sebanyak 180 kilang dan premis perniagaan telah dikenakan tindakan kerana tidak mematuhi SOP yang ditetapkan dan pada hari ini, 65 premis turut dikenakan tindakan,” katanya menerusi kenyataan media perkembangan harian PPN dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata Kerajaan telah mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang-kilang dan premis-premis perniagaan.
Menurut beliau, ini kerana masih ada lagi majikan yang berdegil dan kerajaan mengesan terdapat peningkatan insiden perlanggaran arahan kerajaan dan SOP yang telah diwartakan.
“Semalam Pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melaksanakan 84,976 pemeriksaan dan snap check COVID-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota seramai 19,133 orang.
“Ia termasuk pemeriksaan ke atas 2,309 buah kilang, 14,237 premis perniagaan, 833 tapak pembinaan dan 322 buah asrama penempatan pekerja,” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri yang juga merupakan Menteri Pertahanan menegaskan jumlah mereka yang ditahan kerana ingkar PKP semalam merekodkan jumlah 416 individu.
“Daripada jumlah itu, seramai 404 individu dikompaun dan 12 orang lagi telah direman.
“Orang ramai diingatkan untuk sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan dan mengamalkan kawalan kendiri dalam usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH