16 JULAI: Kajian baharu menunjukkan vaksin Oxford-AstraZeneca memberikan perlindungan kuat kepada penerima yang mampu bertahan seumur hidup.
Selain menghasilkan antibodi yang mematikan virus, vaksin itu juga mewujudkan sel-T di dalam tubuh bagi mencari dan memusnahkan, termasuk varian baharu.
Saintis dari Oxford dan Switzerland yang menulis dalam jurnal Nature, berkata perlindungan sel-T adalah ciri utama vaksin melalui teknologi vektor adenovirus seperti Oxford dan Johnson & Johnson.
Penyelidik, Prof Burkhard Ludewig dari Cantonal Hospital di Switzerland, berkata sel-T yang dihasilkan daripada kem latihan selular itu memiliki tahap kecergasan yang sangat tinggi.
Adenovirus berkembang bersama manusia dalam tempoh yang sangat lama dan banyak belajar mengenai sistem imun manusia dalam proses itu.
“Virus sentiasa menjadi guru terbaik, ia memberi kita pelajaran penting mengenai cara terbaik untuk meningkatkan tindak balas sel-T pembunuh.
“Mudah-mudahan kita dapat memanfaatkannya dalam merancang vaksin baharu yang menyasarkan penyakit lain seperti batuk kering, HIV, hepatitis C dan barah.
“Penyelidik mendapati adenovirus dapat masuk ke sel-sel tisu jangka panjang, yang dikenali sebagai sel retikular fibroblastik, yang bertindak sebagai tempat latihan untuk sel-T,” katanya.
Kajian terdahulu menunjukkan vaksin Oxford lebih berkesan untuk menghasilkan sel-T daripada vaksin mRNA seperti Pfizer dan Moderna.
Tahap sel-T sukar diukur, tetapi kajian baharu memberi harapan bahawa ia dapat bertahan seumur hidup.
Dalam ujian klinikal, vaksin AstraZeneca juga didapati sedikit lemah dalam mencegah jangkitan COVID-19 tanpa gejala.
Bagaimanapun, vaksin itu amat berkesan untuk mencegah komplikasi teruk dan mengurangkan kematian akibat COVID-19.
Selain berkesan menentang varian Delta, AstraZeneca terbukti lebih 90 peratus mengurangkan risiko kemasukan ke hospital akibat koronavirus.
Kajian itu dijalankan selama dua minggu hingga 25 Mei lalu, ketika program inokulasi mula dilaksanakan bagi individu berusia 30-an.
Kajian itu mendapati hampir 100 peratus individu berusia 39 tahun ke bawah yang diberi vaksin AstraZeneca mempunyai antibodi terhadap COVID-19 selepas dua minggu menerima dos kedua.
Kadar itu mencatat sedikit penurunan bagi golongan berusia 40 hingga 49 tahun iaitu merekodkan 99.4 peratus, 50 hingga 59 tahun (93.8 peratus) dan 60 hingga 69 tahun (92.1 peratus).
Namun, kadar itu jatuh bagi individu berusia lebih 80 tahun dengan mencatatkan sebanyak 83.6 peratus.