17 JULAI: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) berjaya menangkap seekor harimau belang betina yang dipanggil ‘Syamilla Bihai’ di Kampung Badak, Pos Bihai, Gua Musang, Kelantan, Khamis lalu.
Harimau itu dipercayai haiwan sama yang menyerang seorang Orang Asli pada 5 Julai lalu.
“Pemeriksaan awal mendapati harimau ini mengalami kecederaan fizikal di beberapa bahagian terutamanya kepala dipercayai luka akibat pergelutan dengan mangsa.
“Operasi pemindahan harimau ini ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai, Perak telah dijalankan pada Jumaat lalu untuk rawatan dan pemantauan susulan,” kata PERHILITAN di Facebook jabatan itu hari ini.
Dalam kejadian awal bulan ini, Adin Andok, 45, cedera parah di kepala, perut, mata kiri, bahu dan lengan kiri akibat dicakar harimau di kebunnya di Kampung Badak.
Kejadian itu berlaku kira-kira jam 3 petang ketika mangsa ke kebun tidak jauh dari rumahnya seorang diri.