17 JULAI: Kajian semula model operasi Lembaga Tabung Haji (TH) adalah bertujuan bagi memastikan isu tadbir urus, integriti dan reputasi TH ditambah baik pada masa akan datang.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, semakan semula Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) bagi memastikan kemampanan dan daya maju institusi kewangan itu pada masa depan sebagai asas perlindungan kepada semua pendeposit TH.
“Kerajaan komited bahawa simpanan pendeposit TH yang kini mencecah RM80 bilion dijamin sepenuhnya oleh kerajaan.
“TH kini berada di landasan terbaik dengan kedudukan kewangan lebih kukuh dan stabil, kita akan tambah baik tadbir urus serta operasi TH melalui rangka kerja pengawalseliaan oleh Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya
Beliau berkata demikian kepada media pada majlis kotak makanan disumbangkan Bank Simpanan Nasional (BSN) di Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi, Selangor, hari ini.
Turut hadir, Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil Jeremy Abdullah dan Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming.
Sumbangan kotak makanan ini merangkumi pelbagai barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula dan makanan kering bernilai RM100 setiap satu yang diagihkan menerusi wakil dari masjid, surau serta badan bukan kerajaan (NGO) di sekitar Bangi.
Baru-baru ini, Kementerian Kewangan mengumumkan mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju menambah baik pengurusan dan operasi TH secara menyeluruh membabitkan cadangan dasar model baharu operasi dan semakan pindaan Akta 535.
Jemaah Menteri turut bersetuju dengan penyenaraian TH sebagai institusi kewangan Islam yang ditetapkan mengikut Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan dikawal selia BNM.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul yang juga Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN) memberitahu, BNM mempunyai Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam dan Majlis Penasihat Shariah dianggotai individu berpengalaman diiktiraf pada peringkat antarabangsa.
“Kajian menyeluruh oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Menteri Hal Ehwal Agama, Kementerian Kewangan dan TH akan dilakukan untuk menilai model baharu yang dicadangkan.
“Ini akan dilakukan sebelum dibentangkan semula dalam mesyuarat Kabinet yang akan mengambil kira kapasiti sedia ada termasuk aset, liabiliti serta kepakaran sumber manusia TH,” katanya