17 JULAI: Sebanyak 12 lokaliti di Sabah, Sarawak, Negeri Sembilan dan Pahang akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Isnin ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, empat daripadanya akan dilaksanakan di daerah Rembau, Negeri Sembilan iaitu Taman Chembong Utama, Taman Chembong Jaya Taman Setia Raja Mukim Chembong dan Taman KSNS, Mukim Pedas.
Menurut beliau, empat lokaliti di Sabah pula adalah di Apartment Seri Maju, Kota Kinabalu; Kampung Tinusa 2, Sandakan dan QL Farm Breeder, Jalan Stesen TV serta Kuarters Pekerja Onika Kuari di Tawau.
“Manakala selebihnya yang kita lakukan PKPD adalah Pos Iskandar, Bera dan Kuala Medang, Lipis, di Pahang di samping Kampung Garung serta Kampung Pasir Hilir, Daerah Lundu di Kuching, Sarawak.
Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa PKP semua lokaliti akan dilaksanakan PKPD mulai 19 Julai sehingga 1 Ogos depan. PKPD ini dilaksanakan bagi memudahkan Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan pengesanan awal kes.
“Ini juga bagi memastikan penduduk yang berisiko dijangkiti kekal berada di kawasan PKPD bagi mengelakkan penularan jangkitan keluar daripada lokaliti tersebut,” katanya menerusi kenyataan media perkembangan harian Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan PKPD, hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan kerajaan turut bersetuju untuk melaksanakan PKPD di lima lokaliti di Kedah, Sabah dan Kampung Bukit Tanah Mukim Bukit Jawa, Pasir Puteh di Kelantan yang sepatutnya ditamatkan esok.
Beliau berkata, lokaliti yang akan dilanjutkan di Sabah adalah Kampung Simpangan di Kota Marudu dan juga Taman Zifa,Bingkul di Beaufort.
“Tiga lagi loklaiti yang akan dilanjutkan adalah di daerah Kuala Muda, Kedah iaitu di Taman Bandar Baru Sungai Lalang, Taman Lembah Permai dan Kawasan Perindustrian Bakar Arang termasuk Taman Cahaya PKNK.
“KKM mendapati masih berlaku penularan dalam kalangan penduduk di kesemua lokaliti terlibat serta kes baharu yang masih direkodkan.
“Justeru, PKPD di kampung tersebut akan dilanjutkan bermula 19 Julai sehingga 1 Ogos depan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH