17 JULAI: Selangor dan Kuala Lumpur masih kekal di Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) walaupun Kerajaan telah mengumumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak dilanjutkan di dua negeri berkenaan, semalam.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, nilai ambang tiga indikator utama di Selangor dan Kuala Lumpur perlu dicapai terlebih dahulu sebelum dua negeri itu beralih ke Fasa 2, PPN.
“Nilai ambang vaksinasi 10 peratus populasi dewasa sudah dicapai tetapi kes masih tinggi manakala tahap penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) masih kritikal.
“Untuk makluman, PKPD akan dikenakan ke atas lokaliti-lokaliti yang merekodkan trend peningkatan kes COVID-19 yang mendadak,” katanya menerusi kenyataan media perkembangan harian PPN dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), hari ini.
Dalam pada itu, bagi mengekang penularan wabak COVID-19, Ismail Sabri berkata kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengusaha sektor ekonomi khususnya kilang-kilang yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) atau mengingkari arahan Kerajaan.
Justeru, beliau menyeru para pekerja agar melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya majikan mengambil tindakan beroperasi tanpa kebenaran atau tidak menyediakan tempat kerja yang mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
“Pelaksanaan Op Patuh di bawah Kementerian Dalam Negeri akan dipergiatkan lagi bagi memastikan pematuhan tinggi oleh premis-premis perniagaan dan kilang.
“Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang kerap mengulangi kesalahan dan tidak teragak-agak untuk menutup operasi premis atau kilang mereka serta-merta.
“Pada masa yang sama, Op Patuh yang dilaksanakan juga bertujuan meningkatkan kesedaran majikan dalam memastikan keselamatan dan kebajikan pekerja sentiasa dijaga serta terpelihara sekiranya diberi kebenaran beroperasi oleh kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pertahanan itu memaklumkan sebanyak 64 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.
Tambah beliau, ini berikutan pemeriksaan yang dilakukan Pasukan Task Force Operasi Pematuhan semalam yang melaksanakan 82,402 pemeriksaan dan snap check COVID-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota seramai 18,526 orang.
“Jumlah mereka yang ditahan kerana ingkar PKP semalam merekodkan jumlah 433 individu telah ditahan. Daripada jumlah itu, seramai 408 individu dikompaun dan 25 orang lagi direman.
“Orang ramai diingatkan untuk sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan dan mengamalkan kawalan kendiri dalam usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH