17 Julai: Persidangan Dewan Rakyat pada 26 Julai ini seharusnya digunakan untuk menyelesaikan masalah rakyat yang terhimpit dengan penularan COVID-19 dan bukan medan untuk Ahli-Ahli Parlimen bergaduh antara satu sama lain
Justeru, Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai menyeru agar semua Ahli Parlimen yang akan menghadiri sidang Parlimen selama lima hari itu mengetengahkan isu-isu rakyat dan bukan isu politik bersifat kepentingan peribadi semata-mata.
“Gerakan berharap semua Ahli Parlimen yang akan bersidang pada 26 Julai depan tidak menjadikan medan untuk bergaduh, soal perkara yang tidak sepatutnya.
“Hentikan semua perkara yang tak sepatutnya dan fokus kepada bantu kerajaan untuk tangani COVID-19,’ katanya kepada media selepas Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat secara sidang maya menerusi aplikasi Zoom, hari ini.
Sementara itu, Dominic Lau turut menggesa agar isu vaksinasi tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak.
“Jangan politikkan isu vaksinasi kerana ia sebenarnya memang mengganggu tugas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham dan Kementerian Kesihatan untuk menjalankan kerja dengan lebih bertanggungjawab.
“Saya berharap semua rakyat sabar menunggu giliran masing-masing dan saya juga ingin minta sesiapa yang belum mendaftar bagi mendapatkan vaksin boleh daftar secepat mungkin demi keselamatan diri sendiri, keluarga dan masyarakat,” katanya.
Dewan Rakyat akan bersidang seperti yang dijadualkan bermula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini walaupun terdapat laporan kes positif COVID-19 di kalangan petugas Parlimen.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, beliau telah menerima notis daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari ini bahawa adalah mustahak untuk diadakan satu Mesyuarat Khas sebelum tarikh mesyuarat akan datang yang telah ditetapkan.
Menurut beliau, perkara ini adalah mengikut Peraturan 11(3) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat bagi faedah orang ramai.
Terbaharu, takwin Dewan Rakyat menjelaskan tiada sesi perbahasan dan pembentangan usul dijangka diadakan pada sidang Dewan Rakyat.
Namun, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon mengesahkan Ahli-Ahli Parlimen dibenarkan mengemukakan sebarang pertanyaan ketika persidangan tersebut.
Beliau berkata, Ahli Parlimen penyokong kerajaan mahupun pembangkang tidak akan dihalang jika mahu mengemukakan sebarang pertanyaan yang berbangkit pada persidangan itu selama lima hari bermula 26 Julai ini.
Dewan Rakyat tetap akan bersidang seperti yang dijadualkan bermula 26 Julai ini walaupun terdapat laporan kes positif COVID-19 di kalangan petugas Parlimen.