17 JULAI: Pusat beli-belah diarah menutup beberapa bahagian dalam premis mereka selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), semalam.
Berdasarkan SOP tersebut, pusat beli-belah dibenarkan untuk beroperasi namun hanya pasar raya, pasar besar, kedai serba guna (departmental store) termasuk semua perkhidmatan perlu yang dibenarkan sahaja.
Bagi departmental store, bahagian pakaian, perhiasan, kosmetik dan alat permainan kanak-kanak adalah tidak dibenarkan.
Larangan itu terpakai untuk negeri atau kawasan sama ada yang masih berada dalam fasa pertama atau fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Mengikut SOP yang dikeluarkan pada 9 Julai, membolehkan pusat beli-belah beroperasi tanpa sekatan tanpa diberitahu bahagian mana yang atau boleh dibuka atau dilarang.
Sementara itu, menerusi SOP baharu MKN, tabika, taska, pusat jagaan harian, tadika swasta, tadika di sekolah swasta antarabangsa dan ekspatriat, pusat perkembangan minda bagi kanak kanak berusia empat hingga enam tahun tidak dibenarkan beroperasi.
Namun, perkara itu dikecualikan untuk kanak-kanak yang ibu bapa atau penjaga mereka berkhidmat sebagai petugas barisan depan atau di sektor perkhidmatan penting.