18 JULAI: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Bryan Lai Wai Chong dan 28 individu lain kerana memasuki Hutan Simpan Ulu Jelai, Lipis, Pahang, tanpa permit, pagi tadi.
Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin, berkata kumpulan dari Selangor dan Kuala Lumpur itu ditahan JPNP dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kampung Rakoh, Pos Lenjang, Sungai Koyan, Lipis jam 8 pagi.
“Turut ditahan bersama kumpulan ini adalah ADUN Teratai yang beralamat di Bandar Mahkota Cheras, Selangor, manakala 11 pikap turut disita.
“Siasatan awal mendapati, kumpulan ini memasuki Hutan Simpan Ulu Jelai, Lipis sekitar jam 11 pagi semalam, tanpa kebenaran dan dimaklumkan untuk memberi bantuan makanan kepada penduduk Orang Asli Pos Lenjang, Lipis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Hizamri berkata, kesemua suspek yang ditahan dibawa ke Balai Polis Sungai Koyan untuk saringan kesihatan.
Katanya, siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 47 dan 88 Akta Perhutanan Negara, masing-masing bagi keperluan permit memasuki hutan simpan serta kuasa menangkap, menyita dan menyiasat oleh pegawai perhutanan.
“Setakat ini, siasatan masih lagi diteruskan bersama PDRM,” katanya.