18 JULAI: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPS) melarang individu yang terlibat dengan aktiviti rentas negeri, termasuk mereka yang berulang alik bekerja setiap hari, hadir ke solat sunat Aidiladha, pada Selasa ini.
Pengerusinya, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah larangan itu juga membabitkan ahli keluarga dan individu yang tinggal bersama mereka, melainkan ahli keluarga dan individu berkenaan telah melengkapkan kedua-dua dos vaksin COVID-19.
“Pengurusan masjid berhak untuk membuat teguran dan tidak membenarkan kemasukan jemaah yang tidak mematuhi prosedur operasi standard,” titah baginda menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh MAIPS hari ini.
Tuanku Syed Faizuddin, bertitah bagi kariah Kota Raja Arau, solat sunat Aidiladha akan didirikan di Dataran Istiadat Istana Arau pada 8 pagi untuk sesi pertama, manakala sesi kedua pada 9 pagi di pekarangan Masjid Negeri Arau sekiranya berlaku limpahan jemaah.
“Jika cuaca tidak mengizinkan, maka satu sesi solat sahaja akan didirikan di masjid-masjid berdasarkan kapasiti maksimum dengan penjagaan SOP ketat pada 8.30 pagi,” titah baginda.