18 JULAI : Perlawanan besbol di stadium National Park, Washington terpaksa dihentikan serta merta ekoran berlakunya kejadian tembak menembak di luar stadium berkenaan.
Menurut pihak berkuasa Washington, tiga mangsa, dua lelaki dan seorang wanita cedera dalam insiden tembakan tersebut.
“Ia bukan suatu kejadian penembak aktif. Keseluruhan insiden itu berlaku di luar stadium,” katanya kepada pemberita.
Seorang wartawan AFP yang sedang membuat liputan perlawanan tersebut berkata, ada penonton mula bergegas keluar selepas terdengar bunyi tembakan.
Pemain pula segera keluar dari padang dan perlawanan dihentikan serta-merta sejurus tembakan bertalu-talu kedengaran dari luar stadium itu.
Penonton perlawanan antara Washington Nationals dengan San Diego Padres itu kemudian diminta meninggalkan stadium berkenaan.