18 JULAI: Semua Ahli Parlimen, pegawai dan individu mereka yang ingin hadir ke sesi Sidang Khas Parlimen pada 26 Julai ini perlu segera menjalani ujian saringan COVID-19.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Shabudin Yahaya berkata, ujian itu boleh dilakukan di mana-mana klinik kerajaan atau swasta selain di bangunan Parlimen sebelum persidangan bermula.
“Sebenarnya, setiap kali berlangsungnya satu-satu sidang di Parlimen, bukan hanya Ahli Parlimen, malah pegawai mereka sahaja akan terlibat.
“Sebaliknya, turut melibatkan tidak kurang 2,500 orang lain termasuk pegawai-pegawai kementerian, kakitangan Parlimen, pengurusan bangunan termasuk keselamatan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita di Pulau Pinang hari ini.
Berikutan itu, Shabudin berkata, menjadi tanggungjawab pengurusan Parlimen memastikan tahap keselamatan setiap individu di situ lebih terjamin dan selamat daripada ancaman COVID-19.
Beliau berkata ketika ini pihak berkenaan sedang melaksanakan susun atur kedudukan dalam Parlimen dengan mengambil kira proses terkini dalam mengawal penularan COVID-19.
“Ini memang satu prosedur standard (sebelum memasuki Parlimen) ketika ini dan kita yakin proses kemasukan kali ini adalah lebih ketat,” katanya.
Shabudin yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, sidang kali ini dijangka hanya membincangkan isu serta kaedah pengurusan terbaik dalam menangani pandemik Covid-19 termasuk dari segi perbelanjaan rawatan dan sebagainya.
“Sidang kali ini ‘straight forward’ (terus kepada isu berbangkit) sahaja. Cuma pada September dan Oktober nanti barulah kita akan adakan persidangan yang betul yang akan membahaskan mengenai usul dan bajet,” katanya.
Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 akan diadakan selama lima hari bermula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini bagi Dewan Rakyat manakala Dewan Negara pula akan bersidang selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Ogos ini.