18 JULAI: Keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan pembukaan sekolah secara berperingkat mulai 1 September 2021 bagi membolehkan pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mengikuti pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara bersemuka adalah keputusan tepat.
Presiden Ikatan Guru- Guru Muslim (i- Guru) Mohd Azizee Hasan, berkata pihaknya juga berharap proses vaksinisasi guru, kakitangan dan pelajar STPM dipercepatkan dengan kadar segera sebelum pembukaan sekolah sehingga mencapai 80 imuniti kelompok.
Beliau berkata i-Guru berharap penangguhan vaksinisasi pelajar SPM buat sementara waktu untuk kajian keberkesanan seperti yang diumumkan menteri kesihatan dapat memberikan petunjuk positif supaya mereka spm dapat diterima untuk suntikan.
“i-Guru menggesa supaya kerajaan mempertimbangkan suntikan vaksinasi ini diberikan kepada pemndu bas, pengusaha kantin, pekerja kontrak dan juga ibubapa murid yg berada di tahun peperiksaan.
“Ini penting bagi mengelakkan risiko jangkitan dan keyakinan ibu bapa terhadap aspek keselamatan dan kesihatan murid ketika berada di sekolah,” katanya dalam satu kenyataan kepada portal berita PNBBC di sini hari ini.
Dalam pada itu, Azizee berkata i-Guru juga berharap pembukaan sekolah secara berperingkat memudahkan guru, murid dan ibu bapa membuat persiapan yang secukupnya untuk pembukaan sekolah.
“Dalam masa yang sama, PdPR yang sedang berjalan ini khususnya bagi pelajar yang bukan peperiksaan ini diperkemaskan agar dapat menjaga aspek kesejahteraan mental dan emosi pelajar dan guru.
“i-Guru berharap pihak KPM juga mendapatkan maklum balas dari pelbagai pihak bukan sahaja pihak sekolah, ibubapa, PIBG, kesatuan guru bahkan ngo- ngo demi kesejahteraan pendidikan murid- murid dan mengelak dari keciciran generasi,” katanya.
Terdahulu, KPM dalam satu kenyataan mengumumkan sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk PdP bersemuka mulai 1 September ini.
Ketetapan ini terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM
Berikutan itu, KPM mengesahkan bahawa sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diteruskan sehingga 31 Ogos.
Keputusan itu selepas mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 serta hasil perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Pada masa sama, KPM akan sentiasa bekerjasama rapat dengan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi memastikan kadar vaksinasi dalam kalangan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan di sekolah dapat terus ditingkatkan.
KPM juga mengesahkan, sehingga semalam seramai 253,366 atau 61.3 peratus guru dan pentadbir serta 10,876 atau 46.33 peratus kakitangan sokongan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Mengambil kira kadar vaksinasi berkenaan, KPM telah membuat ketetapan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk PdP bersemuka mulai 1 September 2021,” katanya.
Bagaimanapun, KPM akan terus mengambil kira penilaian risiko oleh KKM dan MKN sekiranya terdapat keperluan untuk membuat perubahan terhadap tarikh berkenaan.
Sebarang perubahan akan dimaklumkan lebih awal dan perincian lanjut mengenai pembukaan sekolah bagi sesi PdP secara bersemuka akan dibuat selewat-lewatnya seminggu sebelum sekolah dibuka.