18 JULAI : Ekoran banyak berlaku penyalahgunaan surat kebenaran rentas negeri yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), maka kerajaan mengambil keputusan melarang penggunaan surat tersebut selama empat hari, berkuatkuasa hari ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, larangan tersebut diputuskan kerana terdapat individu menyalahgunakan surat berkenaan untuk pulang ke kampung.
Justeru, Ismail Sabri sekali mengingatkan orang ramai supaya tidak mencuba merentas negeri atau daerah sempena sambutan Aidiladha sebaliknya mengambil iktibar daripada peningkatan kes jangkitan wabak itu ketika ini.
“Perkara ini menurutnya terbukti berdasarkan apa yang berlaku pada sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 12 Mei lalu sehingga mencetuskan 36 kluster COVID-19.
“Mungkin ada yang menggunakan ‘kecekapan’ mereka menipu polis dengan merentas negeri melalui jalan kebun kelapa sawit dan sebagainya tetapi anda tidak boleh menipu COVID-19,” katanya kepada pemberita selepas lawatan di pusat pemberian vaksin (PPV) pandu lalu Dewan Pejabat Daerah Jempol, Bandar Seri Jempol hari ini.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dalam kenyataan malam tadi berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menerima dokumen MITI sebagai kelulusan pergerakan yang sah bagi tempoh empat hari mulai 18 hingga 21 Julai, untuk pergerakan rentas negeri susulan pihaknya mengesan peningkatan bilangan kenderaan di lebuh raya untuk tempoh dua hari kebelakangan ini.