19 JULAI: Sebanyak 35 kenderaan yang dipercayai cuba ke Pantai Timur tanpa sebab munasabah melalui dua sekatan jalan raya di sempadan daerah dan negeri di Gerik diarah berpatah balik semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata arahan berkenaan dikeluarkan kepada mereka yang sampai ke sekatan jalan di Kilometer 89 Jalan Gerik-Kuala Kangsar dan KM9 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli setakat jam 4 petang semalam.
Beliau berkata, 27 daripada kenderaan itu diarah berpatah balik kerana mengemukakan surat dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang tidak berkaitan.
Selain itu katanya selaras dengan arahan Ketua Polis Negara berkaitan pergerakan menggunakan surat MITI yang tidak lagi dibenarkan bermula hari ini hingga Rabu depan, ada kenderaan yang diarah berpatah balik sebaik tiba di sekatan jalan berkenaan, kecuali mereka mengemukakan surat MITI yang berkaitan pengangkutan petrol dan makanan.
“Jumlah kenderaan di jalan raya ketika ini dilihat berkurangan sebanyak 30 peratus berbanding sebelum ini,” katanya.