19 JULAI: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, melahirkan kebimbangan kemungkinan ada rakyatnya masih berdegil untuk pulang ke kampung sempena Hari Raya Aidiladha esok.
Berikutan itu Sultan Sharafuddin menasihatkan umat Islam agar menyambut Aidiladha di rumah masing-masing demi mengelakkan penularan wabak COVID-19 yang tidak terkawal.
“Baginda juga masih berdukacita kerana perayaan umat Islam yang sepatutnya disambut dengan semangat kesatuan ummah bagi mengeratkan ukhwah, terpaksa diadakan dalam keadaan yang terhad dan waspada.
“Justeru, Sultan Sharafuddin menggesa agar orang Islam supaya mengukuhkan perpaduan dan teguh bersatu hati menuruti setiap perintah Allah SWT serta tidak mengadu domba dan bertelingkah mengenai isu-isu remeh yang tidak bermanfaat,” titah baginda sempena Hari Raya Aidiladha 1442 Hijrah menerusi Facebook Selangor Royal Office, hari ini.
Pada kesempatan itu juga, baginda bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, berkenan menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha 1442 Hijrah kepada seluruh umat Islam di Selangor.
“Baginda berharap sambutan kali ini diraikan dalam suasana sederhana dan setiap aktiviti membabitkan ibadah korban dilaksanakan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
“Baginda mahu supaya umat Islam terus memanjatkan doa setiap kali selepas solat agar sekalian rakyat terus dilindungi dan dijauhkan daripada musibah wabak COVID-19 dan kematian,” titah baginda.