19 JULAI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengarahkan 4,666 kenderaan melalui sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negara berpatah balik, semalam.
Senior Asisten Komisioner (SAC) Gerakan, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, SAC M V Srikumar Nair, berkata pihak berkuasa juga mengeluarkan 492 kompaun di SJR kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam tempoh sama.
“Arahan supaya berpatah balik dan kompaun itu selepas pemeriksaan terhadap 361,582 kenderaan. Tindakan kompaun itu kerana cuba rentas sempadan dengan alasan tidak munasabah.
“Kompaun berkenaan juga termasuk kerana cuba balik kampung sempena Aidiladha esok,” katanya dalam satu kenyataan kepada sebuah akhbar, hari ini.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, petugas keselamatan negara diarah bersiap sedia untuk menghadapi pertambahan kenderaan yang cuba merentas negeri tanpa kebenaran.
Beliau berkata, langkah itu diambil bagi berdepan kemungkinan orang ramai pulang ke kampung menjelang sambutan Aidiladha, esok.
Jumlah bilangan kenderaan diarahkan berpatah balik paling tinggi pernah dicatatkan adalah pada 16 Julai lalu, iaitu sebanyak 4,839 sejak Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan.