19 JULAI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan 10,972 kes baharu harian COVID-19 dengan 129 kes kematian lagi dilaporkan hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dengan pertambahan itu jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Malaysia semakin menghampiri sejuta kes iaitu 916,561 kes dilaporkan setakat hari ini
Dr Noor Hisham berkata, Selangor terus mencatatkan kes tertinggi dengan 4,404 kes, diikuti Negeri Sembilan dengan 1,340 kes; Johor (876); Kedah (705); Sabah (651) dan Kuala Lumpur (609).
Katanya lagi, KKM juga melaporkan 12,593 kes aktif termasuk 909 pesakit COVID-19 kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 445 individu memerlukan bantuan pernafasan.
“Daripada 10,710 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 95 kes (0.9 peratus) adalah daripada kategori 5 (kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan), 45 kes (0.4 peratus) kategori 4 (radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen), 91 kes (0.9 peratus) kategori 3 (radang paru-paru), 4,162 kes (38.9 peratus) kategori 2 (bergejala ringan) dan 6,317 kes (59.0 peratus) kategori 1 (tidak bergejala).
“Keseluruhannya, hanya 2.1 peratus kes yang dilaporkan hari ini berada pada kategori 3, 4 dan 5. Meskipun peratusan kes kategori 3 hingga kategori 5 tidak tinggi, namun harus diambil perhatian.
“Tempoh masa yang lama diperlukan bagi kes-kes ini untuk diberi jagaan di wad dan ICU, justeru mengakibatkan kapasiti katil yang sememangnya terhad kian hari menjadi semakin penuh dan sesak. Ini secara tidak langsung akan terus membebankan sistem kesihatan terutamanya di ICU, hospital, dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC),” katanya dalam satu kenyataannya hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata dengan pertambahan 153 kes lagi kes kematian dilaporkan hari ini, kumulatif angka korban akibat COVID-19 di Malaysia sekarang ialah 7,019 kes atau 0.77 peratus daripada jumlah keseluruhannya.
Beliau berkata daripada 153 kes kematian hari ini 125 membabitkan rakyat tempatan manakala 28 bukan warganegara.
“Sebanyak 153 kes kematian yang dilaporkan pada hari ini melibatkan 82 kes di Selangor, 17 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 14 kes di Negeri Sembilan, 10 kes di Johor, lapan (8) kes di Kedah, enam (6) kes di Pahang, lima (5) kes di Melaka, masing-masing dua (2) kes di Sabah, Pulau Pinang, dan Wilayah Persekutuan Putrajaya serta masing-masing satu (1) kes di Terengganu, Sarawak, Kelantan, Perak, dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya
Beliau berkata sehingga kini KKM mengesan 3,250 kluster COVID-19 di seluruh negara termasuk 17 kluster dikesan hari ini; 2,345 kluster sudah tamat dan 905 kluster masih aktif