19 JULAI : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru umat Islam agar terus menjaga standard operasi prosedur (SOP) yang ditetapkan kerajaan ketika menunaikan ibadah solat sunat Aidiladha esok.
Menurut beliau, perkara tersebut amat penting bagi memastikan tidak berlakunya sebarang penularan jangkitan COVID-19 di kalangan jemaah yang menunaikan ibadah tersebut.
“Bagi yang menunaikan solat sunat Aidiladha esok, pastikan anda semua mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri masing-masing.
“Hanya diri kita yang boleh jaga nyawa kita sendiri selain ketentuan Ilahi. Kita mesti menang,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau juga turut mengajak umat Islam agar menghayati serta mengambil iktibar erti pengorbanan dalam meraikan sambutan Hari Raya ketika berdepan dengan ancaman pandemik.
Katanya, umat Islam di negara ini terpaksa berkorban berjauhan dengan kedua ibu bapa, keluarga dan kampung halaman dalam usaha membendung penularan jangkitan COVID-19 yang kini menjadi ancaman di seluruh dunia.
“Esok, kita bakal menyambut dan meraikan Aidiladha dalam keadaan berjauhan daripada kedua ibu bapa, keluarga dan kampung halaman.
“Cabaran pengorbanan ini akan dapat kita lalui bersama demi kesejahteraan dan keselamatan insan-insan yang kita sayangi.
“Semoga Hari Raya Korban ini memberi iktibar kepada kita tentang erti ‘pengorbanan’ untuk bersama-sama melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19 dan membantu negara pulih sepenuhnya,”ujarnya.