19 JULAI: Inisiatif suntikan vaksin COVID-19 tanpa janji temu (walk-in) yang diumumkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, Jumaat lalu adalah khusus buat golongan tercicir dan belum mendapat janji temu masing-masing selepas 17 Julai.
Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) berkata, inisiatif itu untuk golongan yang tercicir serta belum mendapat janji temu selepas tarikh tersebut iaitu mereka yang tiada dokumen pengenalan atau perjalanan dan bukan untuk orang ramai yang diberikan janji temu.
“Individu di Kuala Lumpur dan Selangor yang sudah mendaftar sebelum ini akan diberikan janji temu dalam masa terdekat. Individu yang belum mendaftar, tetapi tiada kekangan untuk berbuat demikian, juga digalakkan untuk mendaftar untuk vaksinasi secepat mungkin,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Semalam, satu mesej tersebar melalui aplikasi WhatsApp menyatakan bermula 1 Ogos ini, semua penduduk Selangor dan Kuala Lumpur yang berusia 18 tahun ke atas dan belum mendapat suntikan vaksin, boleh pergi ke mana-mana PPV tanpa perlu mempunyai janji temu untuk mendapatkan vaksin COVID-19.
Mesej tersebut turut menyenaraikan 50 PPV serta jenis vaksin disediakan di pusat terbabit.
Terdahulu, pada sidang media khas CITF secara maya, Khairy dilaporkan berkata, mereka yang maklumat diri tidak ada dalam sistem Jabatan Perangkaan, tetapi menetap di Selangor dan Kuala Lumpur, boleh mendapatkan imunisasi tanpa janji temu di semua PPV di negeri itu.
Ia termasuk mereka yang ketinggalan mendapatkan vaksin melalui PICK termasuk individu yang tidak memiliki dokumen pengenalan dan perjalanan.
Khairy dilaporkan berkata, inisiatif itu yang dilaksanakan selepas operasi peningkatan kapasiti bagi meningkatkan pemberian vaksin kepada mereka yang mendaftar sebelum ini, dijangka bermula pada 1 Ogos nanti.
Dalam pada itu, menerusi kenyataan sama, CITF memaklumkan, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang akan beroperasi untuk tujuan ‘walk-in’ pada Ogos nanti akan dikemas kini dan dimaklumkan kelak namun PPV sedia ada tidak semestinya akan dibuka untuk inisiatif itu.
“Justeru, CITF ingin menyeru agar mereka yang sudah menerima janji temu vaksin untuk menghadiri janji temu pada tarikh dan lokasi PPV diberikan.
“Ini mengambil kira kemunculan varian baharu yang lebih ganas, kes COVID-19 yang tinggi dan keperluan untuk mendapat perlindungan melalui vaksin secepat mungkin,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH